Saturday 16 November 2013 | By: Zenith

EPILOG : BADAN DAKWAH DAN KEROHANIAN



   Masa kian berlalu pantas.

   Kini, Aminudin, Anas dan Eqhwan serta pelajar-pelajar tingkatan lima yang lain bakal meninggalkan sekolah berasrama yang tercinta. Segala nostalgia yang tercipta, sama ada suka mahu pun duka tersemat kemas di dalam sanubari.

   “Abang Eqhwan, nanti bila-bila abang free, mai la lawat kami kat sini.”, pinta Ikhmal tatkala pelajar tingkatan satu tersebut menyalami senior berkaca mata itu. “Nanti kalau mai melawat, bawalah buah tangan sekali ya Abang Eqhwan.”, usik Mus pula menceriakan suasana.

   “Hahahaha … Bukan takat buah tangan, buah kaki pun abang boleh bawakan.”, candaan berganda. Suasana dihiasi tawa ceria.

   “Abang Anas, nanti abang dah takdak, siapa nak ajar kami nasyid?”, suara Razwan kedengaran amat sayu. Mungkin hatinya sebak kerana perpisahan semakin hampir. Anas menggosok-gosok kepala junior tersebut. “InsyaAllah Razwan, kalau abang ada masa, abang akan datang sekolah ni untuk train hampa. Tapi hampa kena janji, mesti bernasyid kerana …?”, Anas membiarkan kata bicaranya tergantung.

   “… Allah.”, jawab Danial dan Razwan serentak.

   “Abang Amin, maafkan kami. Kami junior yang nakal.”, kata Hidayat dan Azim, memohon ampun kepada senior yang mereka hormati. Hati Aminudin tercuit melihat junior-junior di hadapannya. ‘Haha … Comel juga depa ni.’, hati Aminudin bermonolog. “Tak Dayat, Azim. Sebenarnya aku yang kena minta maaf kat hampa sebab terlalu berkasar. Maafkan aku.”, Aminudin merendah diri.

   “Ingat ya, solat mesti pada awal waktu dan berjemaah di surau, kalau tidak…”

   “Adehhh!! Adehhh…”

   Aminudin mencubit lembut pipi dua junior tersebut. Suasana pada ketika itu amat menceriakan. Bukan senang mahu melihat Aminudin bercanda mesra, apatah lagi dengan junior. Eqhwan tersenyum melihat perubahan yang berlaku pada diri sahabatnya.

   Malah, organisasi BADAR juga semakin berubah ke arah kebaikan. Setiap tindakan yang diorak oleh organisasi dakwah tersebut berpaksikan hikmah, bukan lagi amarah.

   “Nanti kalau hampa dah jadi doktor, lecturer, engineer atau apa-apa sahaja, pastikan hampa mencipta bi’ah solehah di dalam perjuangan masing-masing.”, sempat lagi Aminudin memberi peringatan kepada sahabat-sahabat sekohotnya.

   “Hah, ingat pesan abang ni. Nanti kalau dah jadi senior, jaga junior elok-elok ya!”, Ketua PRS tersebut pula memberikan amanat wasiat kepada adik-adik junior tercinta. Junior-junior di hadapannya mengangguk faham.

   Dan kini, tiba saat perpisahan. Saat yang paling perit dalam kehidupan. Insan yang paling awal menangis pada saat itu ialah Eqhwan, terlalu sebak mahu mengucapkan selamat tinggal. Tangisan tersebut disusuli oleh para junior, termasuklah juga Anas dan sahabat-sahabat di tingkatan lima.

   Aminudin cuba mengekal tabah. Namun, akhirnya pemuda tersebut juga menitiskan air mata kesedihan. Sebak.

   Sebelum mengucapkan selamat tinggal, mereka saling berdakap dan memohon ampun. Mungkin, perpisahan ini adalah perpisahan sementara di dunia. Sekiranya pertemuan di dunia ini tiada lagi, kita masih punya harapan untuk bertemu di syurga kelak.

   Kerana ukhwah yang terjalin adalah ikhlas kerana Allah.


*   *   *

   “Semua dah selesai?”

   Soal Faiz Bakruarazi, atau lebih mesra dengan panggilan Paiq. Persoalan tersebut diutarakan kepada sahabat akrabnya, Eqhwan.

   Pemuda berkaca mata tersebut melontarkan pandangan ke luar tingkap bas. Bangunan asrama sekolah semakin kecil ditelan jarak. Sepanjang tempoh Eqhwan menggalas tanggungjawab sebagai seorang BADAR, terlalu banyak pengalaman yang berjaya diraihnya. Namun, ini bukan penamat bagi sebuah penceritaan, kerana perjuangan mereka sebagai da’ie tidak akan terhenti, selagi mana jasad dikandung badan.

   Eqhwan menghembus nafas lemah.

   “Belum … Masih ada perkara yang belum selesai.”, kata Eqhwan dengan nada yang amat serius. Dahinya berkerut seribu memikirkan sebuah permasalahan yang amat kritikal. Lantas, Paiq terkejut mendengar respon yang diberikan oleh sahabatnya.

   “Ada lagi perkara yang belum selesai …”

   “Apadia?”

*   *   *


   “HAHAHAHAHAH !!!”

   Si antagonis tertawa penuh kezaliman. Matanya merah, rambutnya kian serabai. Sekali pandang, dia kelihatan tidak ubah seperti hantu mambang!

   “ JAHANAM KAU!!! JAHANAM !!!”,  suasana berubah seram dan menakutkan. Antagonis rakus kini sedang berbicara seorang diri di kamar tersembunyi.

   “AKU TAKKAN BIARKAN KAU BERJAYA !!!”
   “AKU AKAN HANCURKAN KAU !!!”
   “HAHAHAHAHAHHAHAHHAHAHAH !!!”

   Api dendam si antagonis kian berubah hitam!

   “HAHAHAHHAHAH !!!! KAU JANGAN INGAT CERITA NI DAH HABIS! HAHAHAHAHHA!!!”

   Mengilai dan terus menggila. Hati si antagonis tidak pernah tenang, apatah lagi kerana misinya mahu menghancurkan organisasi BADAR bertemu kegagalan.

   “KITA JUMPA DI LAIN CERITA ! HAHAHAHAHAHHAHAHAHAHHAHHHHH !!!!”


~TAMAT~

BADAR ZENITH DALAM KENANGAN <3

RIWAYAT 10 : KERANA AKU SAUDARA KAMU !




   Pada malam pertandingan nasyid peringkat kebangsaan itu, kumpulan Suhulus Salam menyanyi dengan penuh bersemangat ikhlas terus daripada hati. Sehinggakan para audiens terasa aura jihad yang kian berkobar.

   “Johan bagi pertandingan nasyid peringkat kebangsaan pada tahun ini, jatuh kepada ….”, pengumuman kejayaan bakal dilafazkan oleh pengacara majlis. Jantung Anas, Amin dan Eqhwan berdegup kencang seakan-akan mahu terkeluar.

   DUP ! DAP ! DUP ! DAP !

   “ … Kumpulan Suhulus Salam !”

   Dewan Bitara bergema dengan sorakan kegembiraan. Lantas, Anas terus berdiri di atas kerusi bagi melaungkan kalimah takbir.

   “TAKBIR !”
   “ALLAHUAKBAR !”
   “TAKBIR !”
   “ALLAHUAKBAR !”
   “TAKBIR !”
   “ALLAHUAKBAR !”

   Seruan takbir tersebut turut disambut oleh anggota nasyid daripada kumpulan lain. Sungguh, memang layak kejuaraan itu dirangkul oleh Kumpulan Suhulus Salam memandangkan mereka menyanyi dengan penuh perasaan. Seraya itu, Aminudin, Anas dan Eqhwan terus melaksanakan sujud syukur tanda berterima kasih kepada Allah. Tindakan itu turut diikuti oleh seluruh warga dewan.

   Pada ketika itu, hati insan-insan disatukan dengan penuh kerahmatan. Terlalu syukur akan kurniaan nikmat daripada Ar-Rahman.

   Sungguh, segala penat lelah mereka selama ini terbayar jua. Benarlah, siapa usaha lebih, maka dia akan mendapat lebih.



*   *   *


   “Tahniah Abang Anas…”

   Tersipu-sipu malu Elisa mengucapkan ungkapan tahniah. Wajah Anas pada ketika itu terlalu merah. Anak teruna tersebut terlalu segan tatkala berdepan dengan perempuan. Apatah lagi sekiranya perempuan itu ialah Elisa, si gadis pujaan.

   “Terima kasih … Elisa.”, Anas menjawab tergagap-gagap. Eqhwan menyiku-nyiku mesra bahu Anas, tatkala melihat pemuda itu tidak berkelip matanya memandang Elisa yang berlalu pergi. “Ulat bulu dah naik dauuuuunnnn !”

   Aminudin, Redzuan, Faiz dan sahabat-sahabat lain turut tertawa melihat gelagat Anas pada ketika itu. Sungguh melucukan!

   “Jomlah semua, Ustaz Pauzi dan guru-guru lain sedang menunggu di Dewan Makan. Ada jamuan kemenangan.”, ajak Aminudin. “Wah !!! Makanan! I like!”, sahut Eqhwan pula. Lantas, pelajar-pelajar tersebut berjalan dengan penuh kegembiraan menuju Dewan Makan.

   “Alamak!”

   Tiba-tiba langkahan Anas terhenti. “Aku tertinggal wallet di bilik nasyid. Aku pergi ambil dulu, ya.”, jelas Anas. Lantas pemuda tersebut mengorak langkah pergi meninggalkan rakan-rakannya.

   “Anas. Nak aku temankan?”, Aminudin pula menawar diri.

   “Tak mengapa, aku dah besar.”, kata Anas sambil tersenyum manis.


*   *   *


   “Haisyhhh, mana pula wallet aku ni?”

   Anas mencari-cari dompetnya dengan penuh cermat. “Ah! Tu pun dia!”, dan akhirnya dompet yang dicari terus terjumpa. Pemuda tersebut segera mengatur langkah keluar daripada bilik nasyid.

   “Eh?”

   Tiba-tiba, Anas berasa ganjil. Dia terasa panas. Suhu bilik nasyid tersebut meningkat secara mendadak.

   “Ya Allah! Api!”, teriak Anas. Pintu bilik nasyid tersebut terbakar! Pasti puncanya berlaku daripada luar. Anas runsing, mahu dijeritnya sekuat hati meminta tolong namun pasti berakhir dengan kesia-siaan. Mana ada insan yang berkeliaran di sekitar bilik nasyid pada waktu malam sebegitu.

   Anas ligat berfikir. Tegar mencari jalan keluar. “Ah! Tingkap ni bergrill pula!”, teriak Anas. Kepulan asap hitam semakin menebal. Api pula semakin marak membara. Ruang bilik nasyid yang kecil serta tertutup menjadikan suasana lebih menyesakkan.

   Anas buntu tindakan. Nafasnya tercungap-cungap. Tiada jalan keluar. Masihkah punya harapan?

   “Allah …”

   Anas terpejam, pengsan.

*   *   *


   “HAHAHAHAHAH!”

   Si antagonis tertawa terbahak-bahak. Hati hitamnya berasa puas. Terlalu puas kerana dapat menghapuskan salah seorang tentera kuat dalam organisasi BADAR.

   “Nah! Biar kau rentung kat dalam tu!”

   Kata si antagonis yang sedang berdiri angkuh di luar bilik nasyid. Api yang menyala pada pemetik api ditiupnya penuh dendam.

   “HAHAHAHAHAHAHAH !!!”

*   *   *

   “Ish! Mana Anas ni? Takkanlah lama sangat pi ambil wallet?”

   Kata Aminudin, Ketua BADAR tersebut berasa tidak sedap hati. Lantas, Aminudin berhenti menjamu juadah dan bangun daripada dudukannya.

   “Eh Amin, hang nak pi mana?”, soal Eqhwan di sampingnya. “Aku nak pi cari Anas.”, jawab Aminudin segera. Mendengar kata-kata itu, Eqhwan turut berhenti daripada terus menghabiskan hidangan makanan. “Jom! Aku nak ikut.”

   Seusai meminta diri, Eqhwan dan Aminudin mengatur langkah larian menuju ke arah bilik nasyid. Mereka berasa tidak senang hati, dan setibanya di kawasan bilik nasyid, langkahan dua pemuda terhenti berlari.

   “Ya Allah! Bilik nasyid terbakar! Anas ada kat dalam bilik tu!”, teriak Aminudin. Jantungnya berdegup kencang.

   Eqhwan pula terdiam. ‘Eh! Itu kan … Tapi apa yang dia buat di sini?’, monolog hati kecil Eqhwan.  Pada saat itu, matanya tertangkap akan kelibat seorang manusia yang cukup dikenalinya. Namun, manusia itu tidak pula berusaha mahu memadamkan api yang kian membara, sebaliknya manusia itu terus berlari meninggalkan kawasan kebakaran.

   Manusia itu ialah si antagonis durjana!

   Amin pula ligat berfikir, misinya hanya satu, mahu menyelamatkan Anas daripada menjadi mangsa kebakaran. “Eqhwan, bertenang! Sekarang ni hang pi ambil fire extinguisher. Biar aku selamatkan Anas.”, Aminudin mengarah penuh rasional.

   Eqhwan bagai ditarik semula ke alam nyata. Fikirannya yang melayang dek kerana melihat manusia tadi terhapus serta-merta.

   “Hang nak selamatkan Anas? Api tengah membara tu!”, balas Eqhwan. Pemuda tersebut kelihatan cemas. Sungguh, bilik nasyid pada ketika itu sedang dijilat api dengan suhu yang amat tinggi. Mustahil Aminudin mampu menyelamatkan Anas dalam keadaan sebegitu rupa.

   “Hang dengar cakap aku Eqhwan! Pi ambil fire extinguisher sekarang!”, tegas Aminudin, wajahnya merah. Terdiam sahabatnya dipekik sedemikian itu. Eqhwan bergeleng lemah sambil mengatur langkah mencari alat pemadam api yang berdekatan.

   Aminudin tekad. Nyawa sahabatnya mesti diselamatkan. Lantas, Ketua BADAR tersebut melompat tinggi melangkah baraan api yang sedang menggila. Akhirnya, pemuda tersebut berjaya menghampiri pintu bilik nasyid.

   “Ahhh!! Awat susah sangat nak buka pintu ni?!”, Aminudin berdialog cemas. Pintu bilik nasyid yang panas tersebut gagal ditolaknya.

   “Amin! Aku bawa fire extinguisher ni, hang tunggu aku kat sana!”, jerit Eqhwan yang masih berada di luar lingkungan kebakaran. “Hang jangan datang dekat Eqhwan! Api dah membara gila ni!”, tegas Aminudin. Pemuda tersebut tidak mahu sahabatnya yang seorang itu turut terjebak dalam bahaya.

   “Arrgghhhh!! Awat tak boleh bukak pintu ni!”, Aminudin menjerit sekuat hati. Suhu disekitarnya semakin hangat, baraan api pula semakin menggila! Peluh-peluh yang bercucuran pada wajah Aminudin terus kering sendiri akibat kedahsyatan suhu yang melampau panasnya.

   ‘Ahhh?!! Pintu tak boleh bukak?’, Eqhwan terfikir sejenak. “Amin! Hang jangan bukak pintu tu! Bahaya!”, jerit Eqhwan dari jauh. “Awat plak?!”, Aminudin membalas dengan jeritan.

   “Kat dalam bilik nasyid tu api sedang membara, maka tekanan udaranya menjadi tinggi berbanding tekanan udara di luar. Hang tak boleh tolak pintu tu sebab tekanan udara yang terlalu tinggi di dalam menolak pintu bilik ke arah berlawanan.”, sempat Eqhwan menerangkan.

   “Dan kalau hang berjaya buka pintu bilik tu, hang yang akan nahas sebab tekanan udara yang tinggi di dalam akan menolak api yang membara ke arah luar bilik. Ke arah hang Amin!”, tambah Eqhwan lagi. Pemuda tersebut terlalu cemas sebenarnya.

   “Arrggghhhh!!! Aku tak kisah kalau aku mati terbakar sekali pun! Yang penting, aku kena selamatkan nyawa Anas! Nyawa sahabat aku!”, tegas Amin sebulat hati. Kudratnya dikerah sekuat daya untuk menolak pintu bilik nasyid agar terus terbuka.

   POOOOFFFFFFFFF !!!

   “AMIIINNNNNN !!!”

   Pintu bilik nasyid berjaya dibuka. Pada saat dan ketika itu juga, api yang membara dari arah dalam bilik nasyid menyerang tubuh Aminudin. Pemuda bernama Eqhwan menjerit sekuat hati tatkala melihat sahabatnya terkena bahaman api yang kuat membara.

   “Arrgghhh!”, tanpa membuang masa, Eqhwan berlari kencang ke arah Aminudin dan cuba memadamkan api yang menjilat pakaiannya.

   “Eqhwan, apa sudah jadi ni?!”, satu suara kedengaran gempar dari arah belakang. Suara milik Redzuan yang hadir bersama sahabat-sahabat lain. “Wan! Selamatkan Anas! Anas ada kat dalam bilik tu!”, Eqhwan terus memberi arahan, pemuda tersebut harus segera menyelamatkan Aminudin yang sedang kritikal.

   “Hmmm!”, sahut Redzuan. Ketua Pelajar tersebut memberanikan diri meredah api untuk masuk ke dalam bilik nasyid dan menyelamatkan sahabat karibnya.


*   *   *


   Alhamdulillah.  Api berjaya dipadam dengan bantuan bomba. Dengan izin Allah jua.

   Anas Asyraf pula berjaya diselamatkan. Pemuda tersebut sekadar pengsan kerana ketidakcukupan oksigen. Tubuhnya tidak sempat dijamah api.

   Berbeza pula keadaannya dengan Aminudin. Tubuh Ketua BADAR tersebut sedikit lecur akibat diserang bara. Namun begitu, nyawanya masih terselamat.

   “Ahhh ….”, perlahan-lahan, Aminudin cuba membuka mata. Jasadnya pedih sungguh terseksa.

   Di sampingnya kelihatan Eqhwan sedang menangis kesedihan. “Hang memang bodoh Amin! Bodoh!”, teresak-esak Eqhwan mengatur bicara. “Hang tau dak yang nyawa hang boleh terkorban tadi? Kenapa hang bodoh sangat hah?!”, nada Eqhwan sedikit marah. Mungkin kerana terlalu takut kehilangan insan bernama sahabat.

   Perlahan-lahan, Aminudin melakar senyum. “ Eqhwan … Ada seorang sahabat aku pernah bagitau, tiada kepimpinan tanpa pengorbanan.”, Aminudin berbicara penuh lemah.

   Eqhwan tersentak !

   Kata-kata itulah yang pernah diungkapkannya kepada Ketua BADAR tersebut suatu ketika dahulu. Dan pada hari ini, sahabatnya itu terus mengaplikasikan nasihat tersebut.

   Tidak sempurna iman seseorang, melainkan dia mengasihani saudaranya sebagaimana dia mengasihani dirinya sendiri.

   Eqhwan terus menangis. Hatinya sebak tersentuh melihat pengorbanan yang dilakukan oleh insan bergelar sahabat.

   Sungguh, ukhwah yang terjalin kerana Allah itu mampu mencetuskan rasa cinta yang amat mendalam.

RIWAYAT 9 : KESUMAT HITAM



   Resah.

   Malam itu, pemuda bergelar Eqhwan dicengkam gusar. Semenjak akhir-akhir ini, pemuda berkaca mata tersebut sering diserang mimpi-mimpi silam.

   Pailang.

   Riak wajah si senior bertamadun syaitan sering sahaja menghantui malam-malam pemuda tersebut. Entah. Dia sendiri tidak tahu apa dan mengapa. Namun, segala nostalgia perit dan pedih yang telah terkubur lima tahun lalu seakan-akan menjengah kembali ke alam memori.

   Eqhwan menghirup udara malam sedalam mungkin. Lantas dihembus berat. Dia mahu bersendirian pada malam itu. Langkahannya diatur lemah menuju astaka asrama.

   Detik-detik pemuda itu ditendang dan disepak tanpa belas ihsan tatkala umur masih hingusan. Kenangan ketika Aminudin dan Anas yang turut diseksa oleh sang senior jahanam tanpa sebarang musabab. Zaman tingkatan satu mereka di asrama tersebut merupakan zaman paling menyeksakan dalam jangka hayat mereka sebagai insan bergelar pelajar.

   Eqhwan merenung langit malam. Awanan tebal melitupi sinaran purnama menjadikan malam kian malap. Seolah-olah memaparkan kisah hati dan perasaan pemuda bernama Eqhwan itu. Perlahan-lahan, satu senyuman kesyukuran terlirik kemas pada wajah si pemuda.

   “Alhamdulillah …”, tahmid Eqhwan. Matanya terpejam rapat. Biarpun hatinya gusar, namun tetap dia bersyukur. Bersyukur kerana segala nostalgia perit hanya tinggal memoria. Hidup mesti diteruskan biarpun ombak badai tegar menyerang!

   ‘Aku akan teruskan dengan misi aku di sekolah ini!’, tekad Eqhwan. Pemuda tersebut punya agenda, mahu memecahkan tembok senioriti dan mewujudkan ukhwah islami. Sungguh, perjuangannya bukan di atas karpet merah yang ditabur bungaan mewah. Tidak. Perjuangan pemuda itu menuntut titisan darah serta hati nan parah.

   Biarlah. Asalkan tiada lagi budaya bulian bawaan manusia syaitan di zaman persekolahan.

   “Hai Eqhwan …”

   Lamunan pemuda berkaca mata terhenti serta-merta. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba namanya disebut dalam kegelapan malam. Lantas, si pemuda menoleh ke belakang.

   PHAAANNNGGGG !!!

   “ARRRGGGHHHH !!! “

   Sakit ! Wajah pemuda tersebut ditendang penuh kencang ! Eqhwan menjerit kesakitan. “Ahh.. Engkau siapa?”, tanya Eqhwan mengaduh.

   “HAHAHAHAH ! Bodoh! Hang tak kenal aku siapa? Aku … senior kesayangan hang!”, kata seorang pemuda yang berbadan sasa.

   “AH??!!! Hang … PAILANG ?!”, Eqhwan terperanjat. Bagaimana mungkin syaitan bertopengkan manusia itu boleh berada di hadapannya kini? Sudah pasti Pailang tegar memecah masuk kawasan asrama. Namun, atas dasar apa?

   DUSSSHHHH !!!

   “AARRGGHHHHH !!!”

   Sekali lagi tendangan melayang, namun kali ini, abdomen pemuda tersebut menjadi sasaran. Cermin mata pemuda tersebut tercampak jauh. “Ahhh…. Tak guna!”, ronta Eqhwan. Pandangannya kabur tanpa kaca mata.

   “Hang ni Eqhwan, dari dulu sampai sekarang, langsung tak berubah. Lemah!”, caci Pailang penuh angkuh. Eqhwan tersenyum dalam keperitan. “Heh… Kalau aku tidak berubah, apa bezanya dengan hang Pailang? ‘Sampah’ !”, Eqhwan membalas hinaan. Ya, dek sebabkan peristiwa Pailang dibuang sekolah lima tahun lalu, angkara aduan yang dilaporkan Eqhwan, maka masa depan Pailang berubah gelap tanpa pelajaran. Sehingga kini, tiada siapa mahu mengambil Pailang sebagai pekerja atas dasar kesalahan juvananya yang melampau.

   Kini, Pailang tidak ubah seperti sampah!

   “Bangsat ! Hang memang nak mampus!”, Pailang berlari kencang ke arah Eqhwan. Kekuda juang diatur Eqhwan, siap siaga mahu bertempur!

   “Yarrgghhh!!!”, Pailang melompat ke udara. Mengumpul daya mahu menerajang jasad Eqhwan. “Heh!”, Eqhwan tersenyum. Pemuda tersebut lebih pantas bertindak. Dengan tangkas, Eqhwan menangkap kaki Pailang lalu tubuhnya berputar tiga ratus enam puluh darjah dengan amat laju. Lantas, genggaman tangannya dilepas menjadikan tubuh Pailang tercampak jauh.

   “ARRGGHHHH!!”, jerit Pailang kesakitan. Tubuhnya terseret pada lantai.

   “Hoi Pailang Sampah! Taktik lama hang takkan berkesan lagi pada aku. Sebab … Aku yang dulu bukanlah yang sekarang!”, kata Eqhwan penuh angkuh. Walaupun pada ketika itu jantungnya berdegup dengan amat kencang. Segala asas seni persilatan yang diturunkan oleh Ustaz Pauzi diaplikasikannya penuh ampuh.

   Pailang tersenyum.

   “Heh ! Menarik.”, sindir Pailang. “Tendangan aku mungkin tidak berkesan, namun, aku mahu hang rasakan ini!”, terus menyerang. Kali ini tumbukan bertubi-tubi dilancarkan pada bekas juniornya. Eqhwan terkesan. Setiap tumbukan cuba ditepis dan ditahan, namun agak sukar kerana pandangannya terkabur samar.

   DUSHH!! DUSSHHH!! DUUSSHHHHH !!!!

   “Allah !!!”

   Jerit Eqhwan. Tumbukan Pailang mengena tepat pada bawah dagu Eqhwan. Tidak bernoktah setakat itu, Eqhwan terus ditendang dan diterajang sehingga dia terlentang lemah!

   “HAHAHAHAHAH! Hang dengan mulut hang memang menyakitkan hati aku Eqhwan! Dan apabila aku sakit hati, maka hang … akan mati!”, Pailang mengangkat kaki mahu memijak perut Eqhwan yang sedang terbaring longlai.

   PANG !

  “Adeh!”

   Serangan Pailang terhenti. Tiba-tiba, kepalanya dilontar dengan objek keras. “Ahh! Sialan!”, mata Pailang liar mencari tuan empunya angkara.

   “Lepaskan Abang Eqhwan!”, kata dua orang pelajar tingkatan satu dengan penuh keberanian. Mereka ialah Razwan dan Danial. Pada tangan dua junior tersebut dipegangnya ketulan-ketulan batu.

   “Hahahahah! ‘Abang’ Eqhwan? Comelnya!”, perli Pailang. Pandangan Pailang beralih semula menghadap Eqhwan yang terbaring berlandaskan bumi. “ Siapa ni, Eqhwan? Adik-adik hang? Hahahahah! Tuih!”, ludahan busuk persis najis ditembak pada wajah Eqhwan.

   Eqhwan menghiraukan, ada urusan yang jauh lebih mustahak perlu diselesaikan. “Razwan ! Danial ! Hampa berdua buat apa kat sini?! Pergi … Lari !”, teriak Eqhwan dalam keperitan.

   “Tak! Kami takkan lari!”, tegas Razwan. “Abang Eqhwan juga yang cakap bahawa sahabat tidak akan sama sekali membiarkan sahabatnya dalam kesusahan. Maka, kami akan lawan!”, kata Danial penuh bersemangat.

   Hati Pailang tergeletek. “ Ohhh?? Abang Eqhwan ajar semua tu? Sweetnya!”, terus Pailang memerli. Tanpa berlengah, Pailang mengatur langkah angkuh mendekati Razwan dan Danial. “Mari sini, kita tengok apa yang Abang Pailang mahu mengajar!”, jerit Pailang.

   “Erghh?!”, Razwan dan Danial sedikit gentar. Namun, kudrat dicekalkan lantas ketulan-ketulan batu dilontar mensasar ke jasad Pailang.

   Teng ! Teng ! Teng !

   Lontaran batu itu langsung tidak terkesan pada tubuh sasa milik Pailang. Ada kala dia menepis, ada kala juga dia membiar. Namun, hasilnya tetap sama, dia tegar berjalan lagak, persi Ironman di medan perang!

   “Razwan ! Danial ! Lari sekarang!”, teriak Eqhwan yang masih terbaring lemah. Bibirnya tersembur darah. “Dah terlambat! MAMPUS!”, teriak Pailang, kakinya mencorak langkah pecut. Tubuh Razwan dan Danial menjadi sasaran!

   PPHHHAAAANNNNNGGGGGG !!!!!

   “AARRRGGGGHHHHHHHH  !!!”

   Jasad Razwan dan Danial terpelanting akibat momentum tinggi yang dilepaskan daripada tendangan Pailang. Mereka terseksa !

   “Tidak !!! Pailang ! Berhenti !”, rayu Eqhwan. Namun, hasilnya cuma kesia-siaan.

   “Berhenti untuk aku hanya mati !”, jerit Pailang. Danial yang terbaring lemah dicekiknya penuh rakus. “Argghhhh!!!”, teriak Danial, terlalu sukar mencorak nafas. Tubuh pelajar tingkatan satu itu diangkat tinggi ke udara. Pandangan Pailang beralih pula ke arah Razwan yang terlentang kesakitan berhampirannya.

   “Hoi budak ! Hang yang baling batu tadikan? Nah ! Rasakan ni!”, tubuh Danial dihempas penuh kuat lagi dahsyat ke atas tubuh Razwan. “ARGGGHHHHH !!!! “, jeritan Razwan dan Danial menggegar langit malam. Terlalu dahsyat penyeksaan yang mereka alami.

   “RAZWAN ! DANIAL ! TIDAAAAAAKKKKK !!!”, Eqhwan hanya mampu menjerit. Tubuhnya terlalu perit untuk bertindak.

   “HAHAHAH ! Biar aku hapuskan legasi hang, Eqhwan!“, sebilah pisau yang tajam dikeluarkan daripada sarungnya. Satu senyuman keji terukir rakus pada wajah Pailang. Jasad Razwan dan Danial yang sedang mengerang kesakitan ditatap penuh kejam.

   “Manusia-manusia lemah seperti kamu semua, hanya layak untuk satu perkara …”, bicara Pailang sambil menjilat-jilat pisaunya. “… MAMPUS !”

   ZZUUUPPPPP !!!

   Tusukan pisau terhunus laju. Jasad mangsa menjadi sasaran. Waktu bergerak kian perlahan.

   Razwan dan Danial menjerit kesakitan …

   Pailang rakus dirasuk syaitan …

   Tusukan hampir mengena sasaran …

   Eqhwan terpejam mencari kekuatan …

   Doa memohon bantuan Ar-Rahman …

   ‘Ya Allah ! Sesungguhnya aku hamba-Mu yang lemah, lagi amat hina. Sungguh, tanpa bantuan Engkau, aku langsung tidak berdaya. Maka Ya Allah, Kau bantulah hamba-hamba-Mu yang teraniaya ini. Aku pohon Ya Allah … Aku pohon ...!’, hati Eqhwan terus berdoa. Linangan air mata jernih membasahi wajah Eqhwan. Terlalu lemah. Eqhwan terjatuh pengsan.

   Apakah ini penamat sebuah penceritaan?


*   *   *


   PHHAAANNNNGGGGG !!!

   “HAH ?!”

   Pailang tersentak ! Tangannya ditendang penuh kejutan. Pisau dalam genggaman terlepas melayang. “Siapa pula kali ni?!”, geram Pailang. Pandangannya bertemu dengan tuan empunya tendangan.

   PHAANNNNGGG !!!

  “ARRGGGHHHH !!!”, Pailang menjerit kesakitan, wajahnya pula menjadi sasaran penerajangan!

   “Haisyh … Pailang, Pailang … Aku ingatkan hang dah mampus. Heh! Silap besar hang masuk kawasan aku!”, kata si penyelamat penuh keberanian. Bibirnya tersenyum megah.

   “Ahh…? Hang? Aminudin Che Omar!”, teriak Pailang. Satu ketika dahulu, ketika budaya buli sedang bermaharajalela, Aminudin merupakan seorang junior yang paling tegar melawan senior beradab syaitan itu. “Lihatlah hang sekarang, dah besar panjang!”, bicara Pailang sambil mengesat darah di bibir. Tendangan yang dihadiahkan Aminudin kepadanya amat dahsyat sekali.

   “Heh … Memang aku dah besar panjang, cuma otak hang tu sahaja yang semakin mengecil!”, balas Aminudin. Luka lama yang pernah dicorakkan oleh Pailang ke atas dirinya kembali terasa. “Pailang, malam ni, malam pengakhiran hang !”


*   *   *


   “Eqhwan, hang tak apa-apa?”

   Soal Anas, sahabatnya itu sedang terbaring di atas pangkuannya. Perlahan-lahan, Eqhwan cuba membuka mata.

   “Anas… Selamatkan Razwan … Selamatkan Danial …”, nada Eqhwan berbisik akibat terlalu lemah dan kesakitan. Tangan Anas dipegang erat, tanda merayu meminta bantuan.

   “Ahhh!”, tiba-tiba Eqhwan tersentak. “Pailang! Hentikan Pailang!”, bicara Eqhwan berbaur gusar. Darah daripada mulutnya tersembur-sembur. Air matanya mengalir deras. Terlalu sesal kerana dia tidak bisa menyelamatkan dua junior. “Eqhwan, bawa bertenang. Semuanya sudah selesai. Pailang sudah tertewas, Razwan dan Danial juga selamat.”, pujuk Anas cuba menenangkan. Darah-darah yang mengalir pada wajah Eqhwan dikesat Anas penuh lembut berkasih sayang.

   Perlahan-lahan, Eqhwan mengukir senyum. “ Ahh.. Alhamdulillah….”

*   *   *

   Gempar.

   Pada keesokan harinya seluruh warga asrama digemparkan dengan berita kejadian semalam. Nama Pailang yang telah lama terkubur kini kembali menjadi mahsyur. Mahsyur bukan kerana kebaikan, tetapi mahsyur kerana sikap kesyaitanan!

   Senior rakus tersebut telah pun dibawa ke muka pengadilan. Namun malangnya, motif serangan masih kesamaran. Mengapa Pailang tegar kembali menyerang? Apakah tujuan sekadar membalas dendam? Atau punya agenda hitam?

   Entah. Persoalan tinggal persoalan.

   Pada malam kejadian, Eqhwan, Danial dan Razwan teruk kecederaan. Namun, kecederaan yang dialami oleh Eqhwan tidaklah separah apa yang dirasakan oleh dua juniornya. Manakan tidak, Razwan dan Danial terpaksa di bawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

   “Ustaz … Saya dah buat keputusan, kita batalkan sahaja pertandingan nasyid ini.”

   Kata Anas Asyraf. Wajah Ustaz Pauzi ditatap penuh keseriusan. Selama ini, nasyid merupakan segala-galanya dalam hidup Anas, namun, setelah pemuda itu kembali menjalin ukhwah bersama Amin dan Eqhwan, dia kian sedar, bahawa ada perkara yang lebih perlu diberikan keutamaan mengikut keadaan. Dan pada ketika itu, kesihatan Razwan dan Danial yang turut merupakan anggota kumpulan nasyid Suhulus Salam perlu diberikan prioriti.

   Ustaz Pauzi mengangguk faham. “Baiklah Anas, kalau ini keputusan kamu, maka saya redho.”, jawab Ustaz Pauzi. Anas tertunduk. Sungguh besar pengorbanan yang dilakukan oleh ketua kumpulan nasyid itu. Melepaskan penyertaan dalam pertandingan nasyid peringkat kebangsaan, bukan mudah mahu membuat keputusan sebegitu rupa.

   “Hei Anas, hang ni, janganlah cepat mengalah.”, tiba-tiba satu suara menyampuk dari arah belakang. Ustaz Pauzi dan Anas mengalihkan pandangan mereka ke arah tuan empunya suara.

   “Chillax lah Anas, hang masih ada kami.”, bahu Anas ditepuk-tepuk memberi kekuatan. Eqhwan dan Amin sedang berdiri di sampingnya. “Hah? Maksud hampa …?”, Anas mula terfikir. Wajahnya terpamer sinar harapan.

   “Ya, kami akan gantikan tempat Rawzan dan Danial.”, kata Aminudin penuh yakin.

   “Hah? Hampa betul ni?”, balas Anas seakan tidak percaya. Dia, terlalu gembira.

   “Hmm!”, Eqhwan mengangguk bersemangat membenarkan.

   “Ya Allah ! Alhamdulillah ! Sayangnya kat hampa berdua !”, luah Anas. Tubuh Amin dan Eqhwan didakap erat penuh kasih sayang. Ukhwah Islamiah membuahkan perasaan cinta penuh keikhlasan.

   “Alhamdulillah …”, Ustaz Pauzi bertahmid perlahan. Air matanya bergenang. Tidak disangka saat indah sebegitu rupa dapat disaksikan semula setelah sekian lama tiga pemuda tegar bermusuhan.

   Sungguh, percaturan Allah itu jauh lebih berhikmah!


*   *   *


   “ARGGGGHHHHH !!! TAK GUNA !”

   Teriak si antagonis sekuat hati. Musnah. Percaturannya musnah. Harapannya mahu melihat tentera-tentera BADAR hancur di tangan Pailang terhapus sama sekali.

   “Argghhh! Pailang! Langsung tidak boleh diharap!”, terus-menerus mencaci-maki. Si antagonis terdiam berfikir mencari ilham. Perlahan-lahan, senyuman kejam terukir seram.

   “Baik! Sekiranya plan A aku bertemu kegagalan, maka, akan aku laksanakan pula plan B!”, kali ini, dia tekad.

   “Aku akan hancurkan organisasi BADAR dengan tanganku sendiri! HAHAHAHAHAHAH !!!”, si antagonis tertawa zalim. Hatinya terlampau hitam tanpa cahaya. Manakan tidak? Terlalu lama terbakar dek api dendam yang kian membara.
   

RIWAYAT 8 : KERANA UKHWAH ITU CINTA


   “Tapi masalahnya, aku sendiri pun tak tahu sama ada dia sukakan aku ataupun tidak.”

   Luah Anas. Kini, pemuda tersebut sedang duduk berdua bersama seorang teman di atas Astaka asrama. Teman tersebut ialah Amirul Eqhwan.

   “Hmm… Aku sebenarnya setuju dengan apa yang Ustazah Fadhilah cakap kat hang.”, kata Eqhwan sambil matanya memerhatikan secara kosong pelajar-pelajar lelaki yang sedang asyik bermain bola sepak di padang sekolah. “Kenapa hang nak tahu sama ada Elisa tu suka kat hang ataupun tidak?”

   Anas tertunduk segan, namun penuh pengharapan. Dan hari ini, pemuda bersuara merdu tersebut mengambil keputusan untuk berkongsi perihal tersebut bersama Eqhwan. Mungkin kerana factor usia menyebabkan mereka lebih terbuka. “Bukan apa, aku risau sekiranya cinta aku ni cinta yang bertepuk sebelah tangan. Itu sahaja.”

   “Hmm … Kalau macam tu, aku ada idea!”, kata Eqhwan bertemu solusi.

   “Apa idea hang?”

   “Hehehehe… Mari sini.”, bahu Anas ditarik lantas Eqhwan mula mendekatkan bibirnya kepada telinga Anas. Sok sek sok sek Eqhwan berbisik. “Wah! Boleh pakai gak kan idea tu!”, puji Anas. Ibu jari Eqhwan diangkat menunjukkan simbolik thumbs up. Kedua-dua pemuda tersebut tertawa riang.

   “Ehem … Assalamualaikum.”

   Tiba-tiba, satu salam menyapa Anas dan Eqhwan dari arah belakang. Mereka cukup kenal akan suara tersebut, apatah lagi akan tuan empunya suara. Itu … Aminudin Che Omar!

   “Amin…? Wa’alaikumussalam.”, jawab Eqhwan dan Anas sekata. Dua pemuda tersebut berpandangan sesama sendiri. “Boleh aku duduk sekali?”, pinta Aminudin, wajahnya berhias senyum.

   “Silakan.”, kata Anas, ringkas.

   Aminudin menarik nafas dalam, mengumpul kekuatan untuk meluah bicara. “Anas, Eqhwan… Aku datang berjumpa hampa berdua petang ni, sebenarnya sebab aku ada satu hajat.”, jelas Aminudin.

   “Aku nak minta maaf.”, sambung Aminudin. Egonya yang selama ini tinggi melangit diletakkan serendah mutiara di lautan. Sudah cukup cukup sudah, cukup sampai di sini sahaja. Sudah tiba saat dan ketika di mana Ketua BADAR tersebut melakukan perubahan yang mahmudah dalam organisasi dakwah dan kerohanian itu.

   “Subhanallah, Amin! Sebenarnya kami berdua pun punya hajat yang sama!”, kata Anas keriangan.

   “Ya, aku rasa tindakan kami pada malam tu sangat-sangat tidak matang dan jauh daripada landasan kerasionalan.”, tambah Eqhwan pula, pemuda tersebut turut tersenyum. “Eh? Betul ka? Kalau macam tu …”, Aminudin menghulurkan tangan kanannya tanda pendamaian.

   “Salam je tak cukup.”, tangan Eqhwan dan Aminudin bersalaman. Lantas, pemuda berkaca mata tersebut memeluk erat tubuh Ketua BADAR itu. Aminudin terkesima, hatinya juga turut terpeluk penuh kasih sayang. “Owwhhh … Sweetnya! Aku pun nak juga!”, kata Anas, tanpa membuang masa pemuda tersebut terus turut serta di dalam dakapan ukhwah tersebut.

   Pada saat itu, hati tiga pemuda tersebut terasa lapang. Api dendam yang selama ini membara kian terpadam. Sungguh, menjalin silaturahim itu membuahkan rasa tenang dalam jiwa. Apatah lagi jika ukhwah yang tertaut itu adalah ikhlas kerana Allah.

   Mata Aminudin tiba-tiba berair, hatinya sebak kegembiraan. “Hah, teringat pula zaman kita tingkatan satu dahulu.”, kata Aminudin sambil mengesat mutiara jernih yang mengalir di wajah. Ya, tiga pemuda tersebut merupakan sahabat yang amat akrab suatu ketika dahulu, namun, setelah masing-masing mengambil haluan tersendiri, keakraban tersebut semakin hari semakin luntur.

   Anas dengan perjalanan nasyid, Eqhwan dengan laluan perbahasan, Amin pula sedari awal sudah bersama perjuangan BADAR. Namun, pada hari ini, hati-hati yang telah terpisah itu bersatu semula. Ya, bersatu kerana Yang Maha Satu.

   “Amin, aku sebenarnya bangga hang jadi ketua aku.”, puji Anas Asyraf penuh keikhlasan. Aminudin menyambut pujian tersebut dengan senyuman. “Alhamdulillah. Dan aku amat-amat memerlukan hampa berdua serta ahli BADAR yang lain dalam menegakkan syiar Islam di sekolah ini.”

   Eqhwan memegang lembut bahu Ketua BADAR tersebut. “Jangan risau Amin, kami semua akan sentiasa membantu hang, dan yang paling penting adalah membantu agama Allah ini.”, jelas Eqhwan pula. “Kita akan berjuang bersama-sama, biarpun perjuangan ini menuntut pengorbanan jiwa dan jasad, kerana sungguh, tiada kepimpinan tanpa pengorbanan.”

   Hati Aminudin tersentuh tatkala mendengar pesan sahabatnya itu. ‘ … Tiada kepimpinan tanpa pengorbanan. …’, Aminudin tersenyum sendiri. Tangannya menepuk-nepuk bahu Anas dan Eqhwan.

   “InsyaAllah! Kita boleh!”


*   *   *


   “Bismillah…”

   Perlahan-lahan Anas menyelitkan sehelai kertas bertaraf warkah di bawah meja gadis bernama Elisa. Bukan, itu bukan surat cinta. Sekadar warkah menyoal rasa. Pada penghujung kata isi bicara surat tersebut, tertulis sebuah ucapan pengharapan yang berbunyi … ‘SEE YOU DI IPT’.




   Tersenyum sendiri pemuda tersebut. Hatinya berbunga harapan. Berharap agar cinta ini ialah cinta yang tulus suci, yang bakal membawa diri mendekati Ilahi dan bukannya melalaikan.


*   *   *


   Masa kian berlalu pantas.

   Semakin hari, semakin kukuh ukhwah persahabatan tiga pemuda bersama ahli BADAR yang lain. Disebabkan kekukuhan persaudaraan itu, maka organisasi BADAR semakin ampuh. Onak dan tribulasi yang melanda terus dirempuh.

   Apabila Aminudin berasa sedikit baran, sahabat-sahabatnya akan menegur agar dia kembali ke landasan kesabaran. Tatkala Anas terlalai dengan kenasyidan, pemuda tersebut disedarkan kembali atas tujuan perjuangan. Pada saat Eqhwan terleka dengan ketidakmatangan, sahabat-sahabat seperjuangan terus peka memberi bimbingan.

   Nah! Itu hebatnya ukhwah islamiah! Saling lengkap-melengkapi sesama muslim, dan terus setia memberi peringatan. Kini, Ustaz Pauzi, Ustaz Yus, Ustazah Fadhilah dan seluruh warga sekolah sudah mampu tersenyum bangga melihat perubahan yang tercipta.

   Syiar Islam pula semakin tertegak di asrama tersebut. BADAR semakin hari semakin mesra pelajar. Tidak perlu dipaksa, semua pelajar dengan rela hati menhadirkan diri di musolla untuk berjemaah. Apatah lagi tatkala berlangsungnya sesi tazkirah, serta apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh organisasi BADAR, semuanya diturut serta dengan gembira.

   Dalam pada masa yang sama pula, Anas, Amin dan Eqhwan semakin sukses dalam haluan masing-masing. Pada minggu lepas, pasukan debat sekolah yang disertai oleh Eqhwan telah melayakkan diri ke peringkat kebangsaan. Aminudin pula berjaya meraih gelaran juara bagi acara sukan badminton pada peringkat negeri. Manakala kumpulan nasyid Suhulus Salam di bawah jagaan Anas pula sedang giat berlatih sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan nasyid peringkat zon utara.

   Alhamdulillah, organisasi BADAR semakin ampuh dan kukuh. Terus bertambah kuat dengan sokongan dan dorongan tentera-tenteranya yang ikhlas bersatu.

   Namun, bukan semua insan yang bernama manusia itu berasa senang dan tenang tatkala melihat pejuang-pejuang Islam meraih kejayaan.

   Sungguh. Ada hati hitam yang sedang memerhati !


*   *   *

   “ARRRGGGHHHHH !!!”

  Antagonis tersebut menjerit seorang diri. Segala rancangan kejahatannya mahu menghancurkan organisasi BADAR semakin pudar.

   “Tak guna! Macam mana pula budak bertiga tu boleh berbaik?! Rosak rancangan aku! Rosak!”, rambutnya berserabut, hatinya langsung tidak wujud perasaan tenang.

   Tiba-tiba, dia mendapat ilham. Ilham untuk menjahanam ! Satu lirikan keji terukir pada wajah si antagonis berhati hitam. “Hehehe .. Kalau rancangan aku untuk menghancurkan BADAR secara halus bertemu kegagalan, maka, aku akan laksanakan ia secara terang-terangan!”

   Si antagonis segera mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menghubungi senjata pemusnah. Satu talian nombor didail pantas.

   “Hello.”, suara antagonis kedengaran serius tatkala berbicara dengan insan di hujung talian.
   “Pailang, aku perlukan bantuan kau.”

   Talian dimatikan seusai bicara. Si antagonis tersenyum kekejaman. “BADAR, aku akan hancurkan kau! HAHAHAHAHAHAH !!!”

   Tertawa. Penuh kezaliman !


RIWAYAT 7 : MUTIARA HIKMAH


   Hari itu perlantikan BADAR.

   Namun, kelangsungan majlis tidak semeriah yang disangka. Satu persatu calon percubaan BADAR menerima watikah amanah di pentas penuh bersejarah. Ya, seluruh warga sekolah melontarkan buah bicara tersendiri.

   “Eh, hang nak tau, semalam aku dengar budak-budak BADAR bergaduh! BADAR apa macam tu?”

   “Eleh, pakai songkok bajet alim. Huh! Perangai zalim tahap!”

   “Kalau diri sendiri pun tak terdakwah, macam mana nak berdakwah kat orang lain?”

   Komentar-komentar pedas terus ditembak rakus terhadap organisasi BADAR. Apatah lagi apabila tiba giliran Anas, Eqhwan dan Aminudin naik ke pentas menerima watikah. Masing-masing berwajah lebam tercedera, merancakkan lagi perbualan insan seluruh manusia.

   Pada ketika itu juga, segala teka-teki langsung terjawab. Persoalan tentang siapa yang bakal mewarisi takhta Ketua BADAR sudahpun terungkai.

   Ya, dia. Insan itu ialah Muhammad Aminudin Che Omar.

   Sungguh, ini baru titik permulaan, namun, nama BADAR sudah pun busuk tercemar …


*   *   *


   “Astaghfirullah …”

   Ustazah Fadhilah beristighfar kepada Ilahi tatkala memikirkan perihal tiga pelajarnya. Insan-insan yang diharapkan untuk membela agama, tidak bisa bersatu bersama.

   “Ini semua dugaan Allah, dan saya pasti, kita mampu menggalasnya.”, tiba-tiba Ustaz Yus berkata-kata setelah sekian lama membisu. Di dalam kamar gerakan Pendidikan Islam itu, tiga muallim sedang serius bermusyawarah.

   Ustazah Fadhilah menarik nafas dalam, lantas dihembusnya penuh perasaan. Hah!

   “Betul tu. Lagi pun, kita perlukan mereka bertiga, dan tentera-tentera BADAR yang lain.”, rasional ustazah. Ustaz Pauzi dan Ustaz Yus mengangguk membenarkan.

   “Benar. Saya lihat, tentera-tentera BADAR tahun ini punya potensi besar. Dan tiga pemuda tersebut tidak terkecuali.”, tambah Ustaz Pauzi. “Masing-masing dengan pengaruh yang tersendiri.”

   Satu garis senyuman terukir indah pada wajah Ustaz Yus. “Ya, Aminudin amat berpengaruh dalam kalangan pelajar senior. Malah, kumpulan pelajar yang nakal juga mampu ditundukkannya.”, Ustaz Yus bernada kagum.

   Ustazah Fadhilah mengangguk mengiyakan. “Anas pula, amat jelas pengaruhnya terhadap pelajar perempuan. Yalah, budak tu hensem, suara pun sedap. Siapa yang tak nak?”, bicara ustazah dihiasi dengan senyuman nan indah.

   “Eqhwan … Saya dah lama perhatikan dia. Sangat rapat dengan junior. Pengaruh Ketua PRS tersebut tidak boleh kita sia-siakan.”, tambah Ustaz Pauzi pula. Dua rakan seperjuangannya mengangguk serentak.

   “Saya yakin dan percaya, sekiranya kita dapat menyatukan Amin, Anas dan Eqhwan, maka organisasi BADAR bakal berubah ampuh dan megah. InsyaAllah!”, doa Ustazah Fadhilah penuh pengharapan. Ustaz Pauzi tersenyum tanda bersetuju.

   “Saya rasa, kita dah tak boleh membuang masa, kita perlu lakukan sesuatu!”, kata Ustaz Yus.

   Penuh bersemangat!

*   *   *

   Termenung.

   Anas Asyraf duduk seorang diri di atas Astaka yang gah terbina. Padang sukan di hadapannya meriah dengan suara-suara pemain ragbi sekolah yang sedang giat berlatih. Namun, kemeriahan yang tercipta langsung tidak bisa mengisi kekosongan jiwa pemuda tersebut. Jiwanya kosong, menanti cinta seorang gadis bernama … Elisa.

   “Assalamualaikum.”

   Tiba-tiba, satu suara lembut menyapa. Langsung menarik Anas kembali berpijak di bumi nyata.

   “Wa’alaikumussalam. Eh? Umi?”, sahut Anas sedikit keterkejutan. Wanita yang bergelar Ustazah Fadhilah itu lebih mahsyur dengan panggilan ‘Umi’. Ustazah terus tersenyum.

   “Termenung jauh sahaja Anas. Anak Umi ini fikirkan apa? Marka?”, usik Ustazah Fadhilah. ‘Marka’ membawa definisi teman wanita dalam kamus Utara.

   Anas tersentak!

   ‘Subhanallah! Macam mana Umi boleh tahu?’, monolog hati kecil Anas. “Eh! Mana ada Umi, saya tengah fikirkan pasal pertandingan nasyid bulan hadapanlah. Tak ada marka pun!”, kata Anas penuh penafian. Malu mahu meluahkan perasaan cinta? Atau takut digelar mangsa hati berzina dusta?

   “Fikirkan nasyid sampai berpeluh-peluh?”, ustazah terus mengusik mesra. Wanita itu duduk berlabuh di samping pemuda tersebut. “Errkk!!”, Anas buntu bicara.

   “Come on lah Anas, Umi dah makan Sodium Chloride lebih lama daripada kamu. Umi tahu apa yang sedang kamu fikirkan. Dan Umi faham.”, bicara ustazah penuh kelembutan. Cuba memujuk hati pemuda bernama Anas itu.

   Tertunduk. Mata Anas terpejam rapat. Tersepit antara cinta dan larangan agama. Nafas pemuda tersebut dihela sedalam mungkin, lantas dihembus penuh bersungguh. Hah!

   “Umi … Haramkah bercinta?”

   Akhirnya, hati Anas tetap terbuka. Apa guna berahsia sedangkan berkongsi dengan insan yang  berpengalaman itu jauh lebih bermakna. Ustazah Fadhilah tersenyum manis.

   “Anas, Umi nak tanya. Bernasyid itu berdosakah?”

   Anas tersentak mendengar persoalan yang diutarakan oleh ustazah. “Kenapa pula berdosa? Kita kan berdakwah melalui medium hiburan. Membawa manusia mendekati Ar-Rahman. Sudah tentulah bernasyid itu tidak berdosa, malah boleh membikin pahala ,Umi.”, jawab Anas. Jiwa nasyidnya berkobar-kobar.

   Ustazah Fadhilah tersenyum mendengar jawapan pemuda tersebut. “Baik. Kalau kita asyik berlatih bernasyid sehingga melewat-lewatkan waktu solat, sampai satu tahap boleh menjadikan kita lalai daripada mengingati Allah, bagaimana?”, soalan retorik berantaian.

   Sedikit terdongak kepala Anas mencari jawapan. “Kalau dah sampai boleh lupa pada Allah, sudah tentulah berdosa.”, rasional Anas.

   Tersenyum dan terus tersenyum. “Alhamdulillah Anas, kamu dah pun menjawab persoalan kamu tentang perihal cinta.”, kata ustazah penuh keibuan.

   “HAH?”, Anas kelihatan blur terpinga-pinga.

   “Anas … Siapa yang ciptakan cinta di dunia ini?”
   “Sudah tentulah Allah, Umi.”
  “Maka, mengapa Allah mencipta cinta buat makhluk yang dicipta?”
   “Arr … Sebagai ujian penentu keimanan atau keingkaran?”
   “Kalau bercinta itu membawa kelalaian, bagaimana?”
   “Berdosa.”
   “Kalau bercinta itu membawa insan mendekati tuhan, bagaimana?”

   Anas tersenyum mendengar kata-kata hikmah dari ustazah tercinta. Itu bukan soalan sebenarnya, itu jawapan! “Hah! Kalau begitu, bolehlah saya bercinta? Kan Umi kan?”, Anas kembali bersemangat.

   “Anas, cinta itu tidak haram. Namun, bagaimana kita bercinta itulah yang menentukan sama ada cinta itu cinta yang haram, atau cinta yang tulus suci.”, tambah ustazah lagi. “Kalau benar kamu cintakan seseorang, maka berdoalah kepada Ilahi agar jodoh itu adalah yang terbaik buat kamu di dunia dan di akhirat. Dan apa yang lebih penting adalah kamu melakukan persediaan bersungguh-sungguh untuk menghadapi alam percintaan yang hakiki.”

   Entah kali ke berapa kepala pemuda bernama Anas Asyraf itu mengangguk membenarkan. Pencerahan yang diterima benar-benar mengeluarkan dia dari alam kebuntuan. Alhamdulillah.

   Telefon pintar yang tersimpan kemas di dalam tas tangan ustazah dikeluarkan. “Anas, kamu pernah dengar tak lagu nasyid ‘Kerana Bercinta’?”, musykil ustazah. Anas menggeleng menidakkan. “Nah, kamu dengar lagu ni.”



   Anas tersenyum manis sepanjang lagu tersebut dimainkan. Sungguh, lagu itu memberi peringatan jelas kepada dirinya. InsyaAllah.

   “Jadi, kena bercinta kerana siapa?”, soal Ustazah Fadhilah ceria.

   “Kita bercinta kerana Allah!”, jawab Anas penuh bersemangat!

   Mereka tersenyum. Ikhlas.


*   *   *


   KROOOKKKKK!!!!!

   Satu bunyi yang kurang enak didengari terhasil daripada bahagian perut pemuda bernama Eqhwan. Lapar ! Perutnya merayu-rayu meminta sesuap makanan.

   “Adehh.. Lapar gila! Harap-harap mak cik DM masak ayam tengahari ni.”, pemuda tersebut melangkah laju menuju ke Dewan Makan. Pelajar-pelajar di hadapannya habis dipecut bagi memendekkan lagi giliran aturan.

   PON ! PON !

   Tiba-tiba, bunyi hon kereta terlontar ke udara. Langsung menghentikan langkahan Ketua PRS tersebut. Kepala Eqhwan tertoleh ke arah kereta di belakangnya.

   ‘Hah? Ustaz? Nak apa dengan aku?’, Eqhwan bermonolog tatkala pandangannya melihat insan bernama Ustaz Pauzi itu melambai-lambai ke arah dirinya dari dalam kereta. Kelaparan ditolak tepi buat sementara, posisi ustaz dituju pantas.

   “Ada apa ustaz?”, soal Eqhwan bersahaja. Sejak dua menjak ini, hubungannya dengan ustaz tersebut semakin tidak rapat dek kerana pelbagai komplikasi yang melanda.

   “Kot ye pun, bagi la salam dulu, Eqhwan.”, tegur Ustaz Pauzi sambil menghulurkan tangan kanannya bagi menyalami pemuda tersebut. “Hmm.. Assalamualaikum.”, Eqhwan bermuka toya.

   “Ha … Wa’alaikumussalam. Jom Eqhwan, ikut saya.”, kata Ustaz Pauzi sambil tangannya menunjuk ke arah tempat duduk di sebelah. Ustaz tersebut tersenyum ceria. “Nak pergi mana?”, soal Eqhwan pula.

   “Marilah, saya bawa kamu makan something special.”, jawab ustaz.
   ‘Pffftttt! Nak pujuk aku lah tu!’, monolog hati pemuda tersebut.
   “Makan apa? RFC? Ustaz ajak Anas je la.”, Eqhwan menjual mahal.
   “Tak … Lagi special daripada tu.”
   “Apa dia?”
   “Nasi Arab.”
   “Ceh… Apa yang specialnya?”, Eqhwan terus berprovokasi.
   Ustaz Pauzi masih tersenyum, sabar melayan kerenah pelajarnya yang banyak songeh!
   “Saya masakkan untuk kamu.”
   “Ustaz masakkan?!”, Eqhwan tersenyum gembira, antara percaya dan tidak. ‘Hmm… Bersungguh-sungguh ustaz ni.’, hati pemuda tersebut mula memancarkan cahaya keriangan. “Jom!”

   Langsung, dua hamba Allah tersebut bertolak keluar daripada perkarangan sekolah menuju ke rumah Ustaz Pauzi. Kereta MyVi silver bernombor plat TF42 dipandu laju. Sepanjang perjalanan, Eqhwan hanya terdiam membisu, bukan seperti dirinya yang biasa.

   Terasa asing.

   “Eqhwan … Kamu punya pertandingan pidato dah dekatkan?”, tiba-tiba ustaz membuka soalan, muqaddimmah perbualan. Eqhwan mengangguk membenarkan. “Haah, bulan depan.”, jawab pemuda tersebut, ringkas.

   “Adik-adik kamu tak join?”, tanya ustaz lagi. Eqhwan tercengang seketika. “Hah? Adik-adik saya? Siapa?”, soalan bertemu soalan. Ustaz Pauzi tersenyum simpul.

   “Junior-junior kamulah.”, jelas ustaz. “Ooohhh… Hah. Diorang tak join. Mus dengan Ikhmal join debat. Razwan dengan Daniel join nasyid dengan Anas kesayangan ustaz tu. Azim sibuk berlatih badminton. Dayat dengan adik-adik Lamda yang lain semuanya busy dengan aktiviti rumah sukan.”, satu persatu Eqhwan menjelaskan.

   Ustaz Pauzi tertawa kecil. “Hahah… Banyak betul adik kamu ya?”

   “Orang hensem ustaz.”, seloroh Eqhwan. Hatinya sedikit terhibur.

   “Saya nak tanya satu soalan boleh?”, pohon ustaz merendah diri. “Tanyalah ustaz. Kalau boleh jawab, saya jawab.”, balas pemuda berkaca mata tersebut.

   “Saya tengok, dalam kalangan pelajar tingkatan lima, kamu yang paling… paling…”, Ustaz Pauzi mencari ayat tapisan. “.. Paling ‘ceria’.”, akhirnya terkeluar juga. Kening Eqhwan terangkat sebelah. 

“Paling ceria? Maksud ustaz? Tak matang?”, pemuda tersebut lebih cekap mengesan. Benar, walaupun menyandang jawatan yang tinggi di sekolah tersebut, perangai Eqhwan kadang-kala tidak ubah seperti keanak-anakan. Tidak serius, suka bermain, tegar memberontak dan pelbagai ragam yang langsung tidak menampakkan simbol kematangan.

   Satu garis senyuman terbit pada wajah muallim tersebut. “Bukan tak matang, cuma, KURANG matang.”, perkataan ‘KURANG’ ditekankan nadanya.

   ‘Dah mula dah sesi tazkirah!’, syaitan mula berbisik pada hati pemuda tersebut.
   “Tapi saya kagum dengan kamu, sebab kamu boleh masuk dalam dunia junior. Sedangkan senior lain terus menjadikan senioriti sebagai benteng penghormatan.”, sambung Ustaz Pauzi lagi. “Kenapa ya Eqhwan?”

   Eqhwan berdengus kecil. Setiap kali persoalan berkisar senioriti terbangkit, pemuda tersebut akan terkenang nostalgia hitam lima tahun lalu. Tatkala dia masih seorang junior di tingkatan satu.

   “Ustaz … Ustaz ingat tak, Pailang?”, Eqhwan bernada serius.

   “Pailang?!”, jelas terpapar bahawa ustaz tersebut tersentak tatkala nama ‘Pailang’ itu disebut.

   Ya, peristiwa lima tahun lalu di sekolah berasrama tersebut. Wujud seorang senior bernama Pailang, perangainya persis iblis! Menjadi mimpi ngeri bagi pelajar-pelajar junior yang bermastautin di asrama itu. Misi Pailang cuma satu; mahu menjadikan senioriti itu sebagai senjata pemusnah. Lantas, kekuasaan yang dimilikinya sebagai seorang senior membolehkan dia bermaharajalela.

   Pada lima tahun dahulu, semua junior tingkatan satu pernah menjamah tendangan manusia bertopengkan syaitan, iaitu Pailang. Eqhwan juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa. Lantas, pemuda tersebut tegar melaporkan segala isu kejahatan senior tersebut kepada pihak atasan. Ya, dia berjaya menyebabkan Pailang dibuang sekolah. Persis hero! Namun, kejayaannya menuntut kesakitan. Sebelum Pailang mengangkat kaki keluar daripada sekolah tersebut, Eqhwan dan rakan-rakan seperjuangannya dibelasah selumat mungkin!

   Terseksa. Pedih dan menderita.

   Mata Eqhwan terpejam rapat. Nafasnya ditarik sedalam-dalam, lantas dihembus kuat dengan harapan mahu melupakan segala nostalgia hitam yang telah tercipta. Pun begitu, dia gagal. Memori rakus itu telah tersemat kemas dalam sanubarinya.

   “Saya dah janji dengan diri saya ustaz. Saya akan jaga junior saya dengan sebaik mungkin.”, keazaman Eqhwan membara-bara. “Tak kisahlah orang nak cakap saya tak matang ke, gila jawatan ke, apa ke, saya tak kisah. Itu semua tak penting. Asalkan saya tahu, apa yang saya buat ni betul, maka akan saya teruskan.”

   “Alhamdulillah! Dah sampai.”, kereta MyVi tersebut berhenti meluncur tatkala tiba di destinasi. Rumah Ustaz Pauzi. “Jom, masuk. Kita lupakan sengketa lama, kita buka buku baru.”, kata ustaz sambil tersenyum.

*   *   *

   “Hoh! Mana Pojan ni!”

   Aminudin berasa amarah. Jam pada pergelangan tangannya ditatap berulang kali. Rakan sepermainan badmintonnya, iaitu Fauzan Wajdi masih tidak muncul tiba. Sudah lewat sepuluh minit masa latihan.

   “Assalamualaikum.”

   Satu salam menyapa. Aminudin segera tertoleh ke arah tuan empunya salam. “Wa’alaikumussalam. Ah? Ustaz Yus? Ada apa hari ni?”, soal Aminudin. Pelik, selama ini ustaz tersebut hanya berpakaian Baju Melayu tatkala berada di kawasan sekolah pada waktu sebegini. Namun, hari ini kondisinya berbeda. Ustaz yang dikagumi tersebut berpakaian sukan lengkap.

   Ustaz Yus tersenyum.

   “Hari ni, Fauzan off. Saya akan lawan badminton dengan kamu.”, kata Ustaz Yus dalam intonasi mencabar. Tahap konfidensi yang cukup tinggi.

   Aminudin terkesima. Antara percaya dan tidak. Langsung, dia tersenyum.

   “Heh, baik! Jangan menyesal ya ustaz.”, cabaran bersahutan. Tulang leher Ketua BADAR tersebut ‘di-krakkk-krukk-kan’.

   BRING IT ON!


*   *   *


   “Dah siap Nasi Arab!”

   Kata Ustaz Pauzi sambil membawa dulang makanan dan dua pinggan bersama. Lantas dihidangkan terus kepada tetamu jemputannya.

   Eqhwan menghidu aroma Nasi Arab yang sangat harum lagi menyelerakan. “Wahh!! Sedapnya bau Nasi Arab ni. Jom makan!”, teruja pemuda tersebut mahu menjamah masakan ustaz itu. Usai doa makan dibaca, Eqhwan terus menyuap sesuap nasi ke dalam mulutnya. Kelaparan yang tidak dapat tertahan. Ustaz Pauzi hanya tersenyum melihat gelagat pelajarnya.

   “Erkkk???!!! PFFFTTTTT!!!”

   Tersembur-sembur Nasi Arab terkeluar daripada mulut pemuda tersebut. “Ustaz. Nasi ni tak masaklah! Mentah …”, tegur Eqhwan dengan lidah yang sedikit terjelir. Ustaz Pauzi tertawa kecil. 

“Hahaha … Alah, mentah pun masih boleh dimakan lagi.”, kata ustaz penuh canda.

   “Hmmm! Meh sini ustaz, ikut saya.”, Eqhwan mengangkat dulang nasi tersebut kembali ke dapur. Memandangkan isteri Ustaz Pauzi tiada di rumah, maka pemuda tersebut dengan penuh keselambaan menggunakan dapur di rumah tersebut.

   Dapur dihidupkan. Kuali dan minyak terpanas.

   “Ustaz, kalau masak nasi, kenalah masak betul-betul. Baru sedap orang nak makan.”, celoteh Eqhwan sambil tangan kanannya menyenduk nasi yang sedang dimasak di atas kuali. “Ustaz, ayam tu kena masak balik, tak cukup rempah.”, ujar Eqhwan.

   Senyuman ustaz tidak lekang tatkala memerhatikan pelajarnya beraksi di dapur. “Rempah ratus ada dalam almari tu. Kalau nak lesung batu, kamu cari bawah dapur.”, terus memerhati ceria.

   Dengan penuh cekap, Eqhwan menumbuk bawang merah, bawang putih, serta halia bersama. Kemudian segala rempah ratus dicampurkan secukup rasa untuk menaikkan lagi kesedapan ayam yang bakal dihidangkan bersama nasi arab.

   “Eqhwan, susah-susahkan kamu je nak kena masak balik. Kan senang kalau makan je nasi tadi.”, kata Ustaz Pauzi. Secara automatik, kepala Eqhwan tertoleh ke arah ustaz setelah mendengar komentar berkenaan.

   “Isyhh! Mana boleh ustaz. Kalau nak masak, kenalah masak betul-betul. Nasi mentah mana sedap.”, balas Eqhwan sambil memasukkan ayam ke dalam sup rempah yang sedang mendidih. “Biarlah bersusah sikit ustaz, asalkan masakan ni menjadi. Baru sedap!”

   Ustaz Pauzi mengangguk membenarkan. Bibirnya masih tersenyum.

   “Hah! Siap!”, kata Eqhwan penuh ceria. Nasi Arab dihidangkan di atas talam, bersama ayam berempah kuah kurma dijadikan lauk utama. “Jom makan, ustaz.”, giliran Eqhwan pula tersenyum.

   Sekali lagi, doa makan dibaca Eqhwan, dan diaminkan pula oleh ustaz. Seusai itu, Eqhwan terus memakan Nasi Arab 2.0 tersebut. “Subhanalllah! Sedapnya!”, Eqhwan memuji masakannya sendiri dengan keadaan mulut yang penuh disumbat ayam.

   Ustaz Pauzi turut menjamu selera. ‘Hmm… Boleh tahan.’, hatinya memuji. Ustaz tersebut menyaksikan sahaja gelagat pelajarnya yang sedikit gelojoh itu. Terlalu lapar, mungkin.

   “Eqhwan, sekarang kamu tahukan, bahawa kematangan itu penting?”

   “PPPFFFFFTTTTTTTT!!!”

   Sekali lagi! Ketersemburan nasi tercetus. Namun kali ini bukan kerana rasanya yang kurang enak, tetapi disebabkan oleh persoalan yang diutarakan ustaz terus dari benak.

   “Hah? Apa maksud ustaz?”, musykil Eqhwan, bibirnya dikesat.

   Tersenyum ustaz itu. “Kenapa kamu pilih untuk memakan nasi yang masak, dan bukan nasi yang mentah? Sedangkan dua-dua nasi boleh sahaja terus dimakan.”, soal ustaz. Pemuda yang juga merupakan debator sekolah itu terus tangkas memberi jawapan. “Memanglah dua-dua boleh dimakan. Tapi nasi yang masak itu lebih sedap dan menyelerakan.”

   “Tak samakah yang mentah dan yang masak?”, ustaz terus menyoal.

   “Tak. Jauh sekali perbedaan yang tercipta.”, jawab Eqhwan, mudah. Ustaz Pauzi mengangguk mengiyakan jawapan tersebut.

  “Maka, yang mentah, dan yang matang, bagaimana?”, soalan cepumas!

   “Errrkkk!”

   Eqhwan tersentak. Buat pertama kali, pemuda yang hebat membidas kata-kata insan lain itu terkunci bicaranya. Bukan kerana dia tidak punya jawapan, cuma … hatinya berasa amat terkesan.

  Terus tersenyum lirik. “Eqhwan, saya lihat kamu ada potensi. Sebab itu saya tarik kamu jadi BADAR. Saya tahu, sebagai remaja kita memang selalu nak berseronok. Cuma, pada detik-detik tertentu, dalam keadaan-keadaan tertentu, atas sebab-sebab tertentu, kita perlu jadi matang.”, nasihat Ustaz Pauzi dalam intonasi kebapaan.

   Eqhwan tertunduk memikirkan kebenaran kata-kata ustaz.

   Perlahan-lahan,  tangan Ustaz Pauzi berlabuh pada bahu pemuda tersebut, mengalirkan chakra kekuatan. “Eqhwan, … saya perlukan orang seperti anda.”

   ZUPPPP!!!

   Terkesima pemuda berkaca mata tersebut. Dirinya terasa kuat, terasa bermotivasi, terasa diri ini begitu diperlukan serta dihargai. Selama ini, ramai orang yang tidak berani memberikan kepercayaan kepada Eqhwan kerana sikapnya yang keanak-anakan, namun hari ini, situasinya berbeza. Sungguh berbeza. Tidak dapat digambarkan perasaannya pada saat dan ketika itu.

   “Ustaz! Terima kasih untuk Nasi Arab ni. Sangat bermakna.”, bicara Eqhwan terserta senyuman.
   Terlalu gembira.

*   *   *

   SMASH!

   Bulu tangkis meluncur laju di ruang udara. Pergerakan Aminudin ditingkatkan ketangkasan bagi menyerang balas.

   ‘Isyhh! Hebatnya Ustaz Yus ni!’, monolog hati Amin. Peluhnya bercucuran. Sudah hampir lima permainan, namun pemuda tersebut terus lumat dikalahkan.

   “Kenapa Amin? Dah penatkah?”, perli Ustaz Yus di posisi berlawanan. DIa kelihatan tenang dan masih tersenyum ceria. Berbeza pula kondisinya dengan Aminudin. Nafas Aminudin turun naik laju, peluh pula basah bercucuran. “Heh! Saya tak kenal erti penatlah, ustaz. Yahhh!!!”

   SMASH!

   Aminudin melompat tinggi ke udara, pukulan raket dilibas sekuat hati. Ya, itu kelebihan Aminudin Che Omar. Fizikalnya yang mantap menjadikan dia lebih bertenaga. Setiap kali permainan badminton berlangsung, pemuda tersebut akan menjatuhkan lawannya dengan serangan smash!

   Ustaz Yus tersenyum. Dengan tangkas, ustaz tersebut berlari ke arah net bagi mendapatkan posisi pukulan yang lebih mantap. Setelah mengumpul daya, Ustaz Yus melonjak ke udara sambil raketnya ditarik jauh ke belakang. Daya potensi terjana!

   ‘Ahh! Smash lagi ke?! Matilah aku!’, hati Aminudin berbisik cemas. Pemuda tersebut segera melompat semula ke ruang udara bagi melakukan persediaan untuk menepis serangan balas.

   PAP.

   Sedikit. Hanya sedikit sahaja kudrat yang dilancarkan oleh Ustaz Yus bagi menjana serangan balas. Tiada smash. “Ahhh??!”, Prediksi Aminudin bertemu miskalkulasi. Lantas, bulu tangkis mencium lantai pada bahagian Aminudin beraksi.

   Permainan tamat. Ustaz menang, dan Aminudin kalah. Lagi.

   Aminudin terduduk tercungap-cungap, sungguh, ustaznya itu bukan calang-calang ustaz. Perlahan-lahan, Ustaz Yus berjalan ke arah Ketua BADAR tersebut. “Jom Amin, saya belanja kamu minum di kantin.”, pelawa Ustaz Yus penuh keikhlasan.

   Di kantin tersebut, Ustaz Yus dan Aminudin duduk berdua di sebuah meja. Keadaan kantin yang meriah dengan perbualan kosong para pelajar menjadikan suasana sedikit hingar. Namun tidak pula mengganggu diskusi dua insan tersebut.

   “Macam mana Amin, penat?”, soal Ustaz Yus bersahaja. Amin tersenyum, “Heh, bolehlah. Hebat juga ya ustaz main.”, puji Aminudin.

   “Hahaha… Kalau tak hebat, macam mana Lee Chong Wei boleh jadi anak murid saya?”, gurau Ustaz Yus. Aminudin turut tertawa. “Tapi, sehebat-hebat saya, hebat lagi kamu. Sepanjang perlawanan, asyik smash sahaja.”

   Air milo ais dihirup Aminudin penuh kepuasan. “Smashing memang kekuatan saya ustaz.”, bangga.
   “Apa yang terlintas di fikiran kamu, bila saya pun bagi pukulan smash?”, soal Ustaz Yus.
   “Oh! Mestilah saya nak balas balik smash tu. Lawan mesti lawan!”, kata Aminudin penuh semangat. “Kalau macam tu, bagaimana pula dengan perlawanan akhir kita tadi? Kamu termasuk dalam perangkap saya.”, senyum ustaz.
   “Kebetulan ja tu ustaz.”, balas Amin, tidak mahu mengalah.
   “Tindakan tu dipanggil apa?”
   “Strategi.”, jawab Amin.
   Ustaz terus tersenyum. “Amin, kamu ada kekuatan. Tapi saya nak tanya, kamu ada strategikah?”. 

Aminudin tertunduk seketika memikirkan jawapan, lantas dia bergeleng perlahan. Strateginya kurang serta amat tipis.

   “Sekarang kamu jawab, mana yang lebih penting, kekuatan fizikal atau strategi?”, terus menembak soalan retorikal. “Err… Strategi.”, jawab Aminudin, samar.

   “Ya, tepat sekali. Sama juga seperti usaha dakwah.”, jelas Ustaz Yus.

   Aminudin tersentak.

   Strategi? Dakwah?

   “Amin, saya perhatikan bahawa kamu punya cita-cita yang amat besar dalam dunia dakwah. Malah, kamu tegar melakukan apa sahaja demi menegakkan syiar Islam. Namun Amin, kekuatan semata-mata tidak bisa membuahkan hasil yang efektif lagi efisien. Kita perlukan strategi. Kita perlukan hikmah.”, satu persatu ustaz menerangkan.

   Aminudin diam menghadam kata bicara yang terlafaz dari bibir Ustaz Yus. “Amin, sekiranya kamu mengangkat kuasa dan kekuatan sebagai senjata, maka ia tidak akan bertahan lama. Contoh, kamu marah kawan kamu sebab dia tak solat, kemudian dia pun solat sebab tak larat nak dengar kamu marah-marah. Kamu rasa, bila esok kamu dah tiada, dia akan solat lagikah?”

   Tergeleng kepala Ketua BADAR tersebut.

   “Bagaimana pula sekiranya kawan kamu itu tidak solat, lantas kamu yang menjelaskan kepadanya tentang kepentingan solat dengan penuh kesabaran. Apabila kawan kamu sudah terbuka pintu hatinya untuk menunaikan solat, kamu rasa esok lusa kamu perlu menasihatkannya lagi?”
   Sekali lagi Aminudin bergelengan.

   “Itulah kuasa hikmah Amin.”, kata Ustaz Yus. Aminudin mengangguk perlahan. “Ustaz, bagaimana mahu menjadi insan yang berhikmah?”, soal Amin, pintu hatinya perlahan-lahan kian terbuka. Alhamdulillah, syukur pada Allah.

   Terus dengan senyuman manis. “Senang sahaja Amin, kamu perlukan ilmu serta kesabaran yang tinggi.”. Amin terdiam. Terdiam memikirkan kesabarannya yang agak tipis menipis.

   “Nak menang ke tak nak?”, Ustaz Yus mencocok.
   “Mestilah nak ustaz.”, giliran Aminudin pula tersenyum. Terasa dirinya tercabar.
   “Maka?”
   “Kena berhikmah! YEAH!!!”, sahut Aminudin penuh bersemangat. “Alhamdulillah.”, senyuman mengiringi lafaz tahmid di bibir ustaz.

   ‘Aku akan berusaha sekuat daya untuk menjadi Amin yang baru! Yang berhikmah! InsyaAllah!’, dalam hati Aminudin berazam tinggi.

   Nekad mahu berubah!